Min copy dari posting Al-Fadhil Ustaz Muhammad Fahmi Rusli
__
Konsep ‘dunia merupakan penjara bagi orang beriman dan syurga bagi orang kafir’ bukan bermaksud orang beriman tidak memiliki kesenangan dunia dari sudut makanan, pakaian, kenderaan, dan seumpamanya. Begitu juga tidak bermaksud orang kafir semuanya memiliki kesenangan di dunia seolah hidup di syurga.
Pertama, konsep ini disebutkan oleh Rasulullah SAW :
الدُّنْيَا سِجْنُ الْمُؤْمِنِ وَجَنَّةُ الْكَافِرِ
Terjemahan : Dunia adalah penjara bagi orang beriman dan syurga bagi orang kafir.
Riwayat Muslim (2956)
Lihat pemahaman hadis ini berdasarkan kisah Al-Hāfiz Ibn Hajar Al-‘Asqalāni رحمه الله (w. 852 h.) yang diceritakan oleh Al-Imām Al-Munāwi رحمه الله berikut :
أن الحافظ ابن حجر لما كان قاضي القضاة مر يوما بالسوق في موكب عظيم وهيئة جميلة فهجم عليه يهودي يبيع الزيت الحار وأثوابه ملطخة بالزيت وهو في غاية الرثاثة والشناعة فقبض على لجام بغلته وقال:
Terjemahan : Suatu hari Al-Hāfiz Ibn Hajar semasa beliau merupakan Qādi Al-Qudāh (Ketua Hakim), beliau melalui sebuah pasar bersama dengan pengikut yang ramai serta penampilan yang begitu cantik. Lalu beliau diterpa oleh seorang lelaki yahudi yang menjual minyak panas dalam keadaan pakaiannya berlumuran dengan minyak dan dirinya dalam keadaan begitu lusuh dan buruk. Lalu lelaki tersebut memegang tali kekang keldai yang dinaiki oleh Al-Hāfiz Ibn Hajar dan berkata :
يا شيخ الإسلام تزعم أن نبيكم قال الدنيا سجن المؤمن وجنة الكافر فأي سجن أنت فيه وأي جنة أنا فيها
“Wahai Syaikhul Islām, kamu mengatakan bahawa Nabi kamu bersabda : Dunia merupakan penjara bagi orang beriman dan syurga bagi orang kafir. Penjara apakah yang kamu sedang berada padanya sekarang dan syurga apa pula yang aku sedang berada padanya sekarang ?”.
Lalu Ibn Hajar menjawab :
أنا بالنسبة لما أعد الله لي في الآخرة من النعيم كأني الآن في السجن وأنت بالنسبة لما أعد لك في الآخرة من العذاب الأليم كأنك في جنة
“Aku di dunia ini jika dinisbahkan dengan apa yang Allah SWT sediakan untukku di akhirat dari segala nikmat, seolah-olah aku sekarang sedang berada di dalam penjara. Manakala kamu pula jika dinisbahkan dengan apa yang Allah SWT sediakan untukmu di akhirat dari segala azab yang pedih, seolah-olah kamu sekarang sedang berada di dalam syurga”.
Mendengar jawapan tersebut, lelaki yahudi itu pun memeluk islam.
Rujuk Faid Al-Qadīr, Al-Munāwi (3/546)
✍🏻 Muhammad Fahmi Rusli